BILA WANITA HILANG RASA MALU

Assalamualaikum..
Bismillahirrahmanirrahim..

| Bila Wanita Hilang Malu |

Semakin hari semakin gelisah kita melihat aksi sebahagian besar wanita-wanita muslimah di luar sana. Berbagai jenis fesyen yang mereka kenakan dengan pelbagai jenis gaya dan trend yang diikuti. Kadang-kadang dengan mengikut trend semasa, mereka menjadi terikut-ikut dengan budaya kaum kafir dalam berpakaian sehinggakan sulit untuk membezakan sama ada dia itu Islam atau tak.

Demikian yang bertudung pula, kadang-kala disebabkan mahu menampakkan lebih progresif, aktif atau ‘funky’, mereka begitu bertungkus-lumus mencari pakaian yang berlabel muslimah kononya yang hanya menutup aurat tetapi ada pula yang jenis ketat, sendat lagi singkat. Berletih-letihan melilit tudung di kepala tetapi dadanya menonjol terbuka.

Duhai wanita, begitu sukar sekali mengawal kehendakmu jika hati kalian sudah terpalit dengan kenikmatan di dunia.

***

Belum lagi dikira akan malunya mereka pada gambar-gambar yang dipertontonkan di hadapan khalayak di laman maya seperti ‘facebook’, ‘friendster’ dan lain-lain laman sosial yang sebahagiannya menjadi santapan lazat kepada para lelaki yang "kacau jiwanya".

Tidak takutkah mereka jika gambar mereka itu disabotaj atau menjadi bahan fitnah kepada para lelaki yang lemah jiwanya?  Atau diedit lalu ditampal di laman-laman porno atau menjadi pemuas nafsu kepada lelaki berhidung belang?

Ada juga wanita yang bertutup aurat lengkap tetapi bergambar ghairah lalu diletakkan di laman sosialnya itu. Kita tidak tahu apakah yang difikirkan oleh muslimah jenis begini.
Mungkin ingin mencari perhatian dari sang lelaki barangkali atau dengan berprasangka baik mungkin ada tujuan-tujuan yang tertentu yang kita sendiri tak tahu.

***

Kadang-kala ada muslimah yang telah faham Islam dan ilmu yang cukup lalu diuji dengan dikurniakan wajah yang cantik lagi menawan, tetapi dek berkeinginan terhadap sanjungan dunia barangkali, dia terpengaruh dengan mengikuti kebiasaan orang biasa yang kebanyakannya jahil lagi mengikuti hawa nafsu, maka tak hairanlah jika kita lihat ada juga muslimah yang meletakkan gambarnya yang menawan itu di profilnya.

Tidak merasa sensitif langsung dengan natijah buruk yang akan timbul apabila ramai lelaki yang melihatnya dan berkeinginan sesuatu darinya. Dia hanyut dengan pujian para lelaki asing terhadap kecantikan wajahnya itu barangkali.

Di manakah hilangnya sifat malu mereka yang ianya adalah resmi bagi mereka itu selama ini?
Apakah malu mereka telah menipis sehingga sanggup melakukan hal sedemikian?

Benarlah sabda Rasulullah saw:

Bila hilang budaya malumu lakukanlah apa saja yang kamu kehendaki. (HR. Bukhari)

***

Tak salah rasanya muslimah meletakkan gambar di laman sosialnya itu bagi tujuan perkongsian pengalaman dengan rakan-rakan wanitanya yang lain, tetapi hendaklah dipastikan terlebih dahulu dengan yakin bahawa ia mempunya privasi yang kukuh bagi mengelakkan lelaki asing dari melihatnya. Namun risikonya tetap ada.

Betapa ramai wanita yang pada mulanya disangka solehah namun setelah dilihat aksi gambarnya di laman mayanya, telah terjatuh aib serta sahamnya dihadapan kaum lelaki yang pada mula mengaguminya.

Berbagai aib dan kecacatan telah kelihatan. Namun, hidayah milik Allah, kita hanya menyampaikan sahaja untuk kesejahteraan bersama, maka renung-renungkanlah duhai wanita muslimah yang ku kasihi sekalian.  
Bertaqwalah kepada Allah!

"Duhai wanita, kepada siapa sebenarnya kamu mahu mempamerkan kecantikanmu itu?"
"Apakah kepada suamimu atau lelaki yang asing buatmu..?"
"Sanggupkah kalian menyebarkan fitnah secara tak sedar lalu merosakkan kaum muslimin dengan aksi-aksimu itu..?"

"Segala jawapannya di dalam diri anda.. Hanya ANDA sahaja yg mampu mengubah Diri ANDA"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
** Dan wanita yang terbaik adalah yang tinggi nilai Malu dan Agamanya.. **
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

p/s : Tak semua muslimah begitu,hanya segelintir sahaja. Mohon maaf jika ada yang terasa berkecil hati. Tiada niat untuk menghina peribadi perseorangan tertentu dan anggaplah ini hanya sebatas perkataan bagi tujuan difikir-fikirkan serta saling menasihati. Semoga Allah membantu kita. 

 

Copyright © Muslimah Super + Power. Designed by Whitey Mommy